DOA UNTUK KEJADIAN KRITIKAL DI BANGSA KITA – NEGERI MELAKA

 

Ibrani 12:26-29 (TB)

26 Waktu itu suara-Nya menggoncangkan bumi, tetapi sekarang Ia memberikan janji: “Satu kali lagi Aku akan menggoncangkan bukan hanya bumi saja, melainkan langit juga.   27 Ungkapan “Satu kali lagi” menunjuk kepada perubahan pada apa yang dapat digoncangkan, karena ia dijadikan supaya tinggal tetap apa yang tidak tergoncangkan.  28 Jadi, karena kita menerima kerajaan yang tidak tergoncangkan, marilah kita mengucap syukur dan beribadah kepada Allah menurut cara yang berkenan kepada-Nya, dengan hormat dan takut. 29 Sebab Allah kita adalah api yang menghanguskan.

Kita sekarang hidup di era kegoncangan Tuhan di mana Dia sedang menggoncangkan bangsa-bangsa. Kita di Malaysia juga tidak terkecuali. Tetapi Tuhan menginginkan umat-Nya tetap teguh dan tidak tergoyah supaya mereka dapat bekerjasama  dengan Dia untuk melihat tujuan-Nya datang kepada bangsa-bangsa.

Marilah kita bersatu berdasarkan ayat Matius 18: 18-20, sepakat berdoa sehingga ketika “dua orang daripada mu di dunia ini sepakat meminta apapun juga, permintaan mereka itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku yang di sorga”

 

Doa Untuk Melaka

  • Doa untuk pilihanraya negeri pada Nov 20

Pada 5hb Okt, Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan, mengakibatkan krisis politikal yang menyebabkan pembubaran dewan negeri dan panggilan untuk pilihanraya di bulan November.

Melaka merupakan kota bersejarah penting dengan warisan pusaka yang hebat. Sejarah Malaysia dikait rapat dengan sejarah Melaka. Apa yang terjadi di Melaka akan mempengaruhi seluruh Malaysia. Mari kita semua bangkit menyertai saudara-saudari seiman di Melaka bersyafaat bagi negeri ini di waktu kritikal kini.

Ini adalah bahan-bahan doa  syafaat bagi Melaka untuk pilihanraya negeri:

Allah Bapa, kita memuji namaMu yang Kudus kerana Engkau memerintah atas semua pihak-pihak berkuasa.  Kita tahu  tidak ada pemerintah yang tidak berasal dari dan ditetapkan oleh Allah (Rom 13:1) .  Sekarang kita berdiri bersama mengadap di takhta-Mu, memohon supaya pilihanraya negeri yang akan diadakan pada Nov 20 akan menggerakkan kelaparan dan kehausan dalam rakyat negeri Melaka untuk dewan undangan negeri yang benar.

Kita berdiri bersama-sama  berdoa agar….

  • Pilihanraya negeri Melaka bersih dan adil dan kita minta Engkau mengutus malaikat-malaikat-Mu untuk mengawal atmosfera rohani dalam musim menjelang tarikh pilihanraya.
  • Kerajaan menetapkan SOP yang bijaksana, jelas dan terancang baik supaya pilihanraya ini tidak akan mengakibatkan peningkatan kes-kes KOVID yang tidak boleh diterima.
  • Tangan-Mu diatas semua kumpulan etnik yang berbeda supaya menjalinkan kesatuan yang kuat untuk mengundi  Dewan Undangan Negeri yang tulus.
  • Mereka yang merancang pendustaan akan disingkir dan yang tulus dikuatkan apabila mereka menyuarakan kebenaran dan keadilan. Semoga mereka menerima perkenanan daripada Tuhan dan manusia.
  • Terutamanya gereja Tuhan di Melaka bangkit berdoa tanpa berhenti dan berdiri dijurang atas pihak tanah ini.

 

Tuhan kami berdiri bersama dalam Kristus dan mengisytiharkan Mazmur 33:8-11 atas Melaka

Biarlah segenap bumi takut kepada TUHAN, biarlah semua penduduk dunia gentar terhadap Dia! Sebab Dia berfirman, maka semuanya jadi; Dia memberi perintah, maka semuanya ada. TUHAN menggagalkan rencana bangsa-bangsa; Ia meniadakan rancangan suku-suku bangsa; tetapi rencana TUHAN untuk Melaka tetap selama-lamanya, rancangan hati-Nya untuk Melaka (tidak tergoyah) turun-temurun.

 

  • Doakan Melaka Kota warisan sebagai Kota Pintu Gerbang
  • Pada tahun 1545 Francis Xavier adalah mubaligh pertama yang membawa Injil ke Melaka.
  • London Missionary Society kemudian mengambil alih tugas misi di Melaka dan mengutus dua orang yang hebat ia itu Robert Morrison (1782 hingga 1834) dan William Milne (1782-1822) ke sana. Mereka menterjemahkan Alkitab Protestan pertama (bhs Mandarin), Perjanjian Lama dan Baru pada tahun 1818. Ia pertama kali dicetak pada tahun 1823 di Melaka

Tuhan, kami mengucapkan terima kasih kepada Engkau kerana memilih Melaka dari dasar dunia untuk menjadi kota pintu masuk Injil ke bangsa kami. Kami sekarang berdiri bersama untuk mengawasi pintu gerbang ini agar pintu ini sentiasa terbuka kepada Raja Kemuliaan.

 

  • Tuhan kami sekarang berdiri bersama dalam Kristus untuk mengisytiharkan Mazmur 24 ke atas Melaka:

Tuhan, kami mengisytharkan Melaka adalah milik Tuhan dan segala isinya, dan dunia serta semua bangsa yang diam di dalamnya. Sebab Engkaulah yang mendasarkan Malaysia di atas lautan dan menegakkannya di atas (dasar) sungai-sungai. Kami memuji Engkau Tuhan kerana dasar yang begitu luarbiasa.

Jadi kami mendeklarasikan “Angkatlah kepalamu, hai pintu-pintu gerbang Melaka, dan terangkatlah kamu, hai pintu-pintu yang berabad-abad, supaya masuk Raja Kemuliaan! “Siapakah Dia itu Raja Kemuliaan?” “TUHAN semesta alam, Dialah Raja Kemuliaan!” Datang sekarang Ya Tuhan ke dalam pintu gerbang Melaka.

 

  • Doa untuk gereja-gereja di Melaka – “Ekklesia” dari Melaka
  • Christ Church di Melaka adalah Gereja Protestan pertama yang dibina di negara ini oleh Belanda pada abad ke-18 dan mempunyai tulisan Yohanes 1v1 yang tercetak di mimbar tembaga – masih ada sehingga kini. Sekiranya anda mengunjungi gereja ini, anda akan mendapati di dindingnya terdapat banyak bukti orang-orang saleh yang pernah tinggal di sana.

Kami memuji Mu Ya Tuhan bahawa asas-asas gereja Tuhan di Melaka telah didasari sebelum bangsa kami dibentuk. Kami berterima kasih ya Tuhan, selama bertahun-tahun orang-orang yang setia, berdiri teguh di dalam doa untuk kota yang mengagumkan ini. Tuhan, saat ini Engkau mengangkat gereja-gereja di Melaka untuk bersatu sebagai “ekklesia” Kristus supaya mereka dapat diberi kunci-kunci kerajaan untuk membuka destini kota ini.

Semoga gereja Melaka kuat, bersemangat ; menyahut panggilan mereka untuk menjadi pengaruh yang positif di tengah-tengah waktu ketidakpastian ini. Semoga gereja Tuhan di Melaka terus percaya kepada Tuhan. Semoga Engkau membangkitkan lebih ramai lagi pemimpin gereja, ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, penjawat awam, ahli perniagaan dan pekerja dipasaran yang mempunyai keprihatinan sejati terhadap kesejahteraan kota.

Apabila umat Mu berdiri sebagai pengantara dan bersyafaat bagi kota ini, kami mengisytiharkan bahawa kehendak-Mu akan terjadi di kota ini sepertimana yang telah diisytiharkan di surga. Kami berdoa dan mendeklarasi bahawa kebangkitan rohani akan datang melalui pintu gerbang berabad ini.

Dalam nama Kristus kami berdoa. Amin.

 

Log masuk