Menumpukan Perhatian Pada Tuhan Yesus Kristus Kita
Minggu 5
Perkara doa yang diberikan adalah dari 24-7 Prayer Asia’s Passion Week Devotions.
- AHAD PALMA
HAMBA ALLAH -Kerajaan Yesus nyata berbeza daripada nilai-nilai duniawi.
Aku berkata kepadamu bahawa jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak” – Lukas 19:40 AVB
PERKARA DOA:
- Sebagai duta kerajaan Allah, semoga kita setia, patuh, dan tidak mengalah, untuk rindu melihat umat Allah menumpukan usaha dalam mengisytiharkan kerajaan Allah di bumi;
- Untuk api membara dalam membawa perubahan di kalangan keluarga, kawasan kediaman, dan kota kita menjadi “Taman Eden baru”, di mana Allah dimuliakan dan umat-Nya diberkati dengan berlimpah-limpah;
- Sebagai pendamai manusia, untuk mengisytiharkan kerajaan Allah, agar dunia dapat melihat kasih dan kemuliaan-Nya;
- Mengubah nilai-nilai duniawi dengan mencontohi Kristus melalui kasih, kerendahan hati dan kedamaian, sepertimana Dia melayan dan rela mengorbankan nyawa-Nya untuk menyelamatkan manusia sejagat.
YESUS TIDAK MENGIKUT GAMBARAN DUNIAWI SEORANG RAJA
DOA:
Bapa Syurgawi, langkah pertama untuk membawa perubahan yang kekal ke dunia ini adalah perkhabaran Berita Baik yang dibawa oleh Yesus Kristus. Kuatkan kita melalui Roh Kudus-Mu, supaya kita mengasihi musuh kita, berbuat baik kepada mereka yang menganiayai kita, dan berikan kita roh pengampunan yang luarbiasa sewaktu ditindas. Dalam nama Yesus kita berdoa, AMIN.
- ISNIN KUDUS
DALAM ROH DAN KEBENARAN – Allah mencari meraka yang menyembah dalam kebenaran.
Yesus masuk ke dalam Bait Suci lalu mengusir semua pedagang di situ. Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa’; tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’” – Lukas 19:45-46 AVB
PERKARA DOA:
- Untuk menyembah secara ikhlas melalui perbuatan dan kasih yang tulen untuk Allah;
- Untuk mengasihi Allah, keluarga rohani, jiran-jiran, dan musuh kita melalui perbuatan baik dan doa;
- Jangan saling menghakimi, ataupun menjadi batu sandungan terhadap seorang yang mungkin tersinggung oleh hal pemakanan can cara pakaian kita;
- Agar gereja-gereja rindu akan pergerakan Roh Kudus yang baru, supaya semua umat akan patuh dan tidak bergantung kepada tradisi lama;
- Untuk kekuatan dalam hal disiplin rohani seperti membaca Firman Tuhan, berdoa syafaat, dan pemberian – serta menyiapkan diri untuk menyambut hadirat Roh Kudus.
HENDAKLAH KITA SUCI KERANA ALLAH SUCI
DOA:
Bapa yang Kudus, semoga kita hidup secara ikhlas dalam iman sebagai korban yang hidup, mencontohi Kristus dalam kasih, iman, dan doa, agar orang lain boleh melihat perbuatan Engkau dan memuliakan- Mu. Penuhi kita dengan Roh Kudus-Mu, agar kita suci sepertimana Engkau suci. Dalam nama Yesus, AMIN.
- SELASA KUDUS
KESETIAAN YANG UNGGUL – Yang miskin sebenarnya kaya.
Yesus memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan. Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga. Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain, kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.” – Lukas 21:1-4 AVB
PERKARA DOA:
- Untuk hidup sedemikian agar Allah mengambil tempat yang terutama dalam hidup kita, tidak resah tentang keperluan sendiri, tetapi bergantung kepada-Nya secara keseluruhan untuk segala sesuatu;
- Untuk menjadi hamba Allah yang dipercayai dalam pengelolaan segala berkat dan harta yang diberi demi Kerajaan Allah;
- Untuk memberi secara sukacita dan murah hati terhadap mereka yang kekurangan oleh kerana pandemik, walaupun kita sendiri serba kekurangan;
- Belajar hidup dengan iman, dan bukan dengan penglihatan.
MENCARI KERAJAAN ALLAH
DOA:
Bapa Syurgawi, ampuni hati kita yang tidak taat kepada-Mu serta kemiskinan iman. Ampuni kita kerana tidak mengenali sumbangan golongan miskin yang telah memberi seluruh nafkah mereka, tetapi hanya mengutamakan golongan kaya. Ajar kami untuk memberi dengan murah hati sepertimana Engkau memberkati kita dengan semua perkara baik dan tidak pernah membiarkan kita kekurangan dalam apa-apa pun.
Beri kita ketaatan yang tidak terbahagi, tujuan dan fokus yang tertumpu pada-Mu sahaja, serta tangan yang sedia bekerja sebagai warganegara Kerajaan Allah. Dalam nama Yesus kita berdoa, AMIN.
- RABU KUDUS
MENYANGKAL CITA-CITA SENDIR – Mereka yang melayan merupakan yang terutama.
Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain. – Lukas 22:25-26 AVB
PERKARA DOA:
- Mencontohi hati hamba Kristus dari segi kepatuhan, kerendahan hati, dan keindahan-Nya;
- Untuk sentiasa mengingati bahawa kita adalah anak yang disayangi oleh Bapa Syurgawi, dan diselamatkan oleh rahmat Allah yang besar melalui pengorbanan Tuhan Yesus Kristus kita, sebagai Tuhan, Abang, dan Kawan kita;
- Berada dalam Kristus kerana tanpa Dia, kita tidak mampu melakukan apa-apa, dan tidak dapat berjaya jika tidak bergantung kepada-Nya;
- Untuk berehat dalam pengetahuan bahawa kita tidak perlu mengejar sebarang tanda penghargaan di dunia ini berdasarkan nilai- nilai duniawi untuk menjadi terkenal, tetapi tahu bahawa kita sudah mempunyai segalanya dalam Kristus.
DOA:
Bapa Syurgawi, walaupun dunia ini mengajar kita untuk mempertahankan harta benda kepunyaan kita, tolonglah kita ingat bahawa kita sudah ada segala sesuatu keperluan untuk hidup. Dalam dunia ini di mana cita-cita dan kejayaan merupakan tanda-tanda kebesaran seseorang, ingatkanlah kita bahawa kita sudah mempunyai harta syurgawi yang tidak ternilai. Engkau telah memberkati kita dengan murah hati, dan kita mempunyai segala sesuatu oleh kerana Yesus Kristus. AMIN.
- KHAMIS SUCI
KESATUAN YANG SEMPURNA – Kesatuan menyenanykan hati Allah.
Aku memberi mereka kemuliaan yang Kau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu. Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus- Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku. – Yohanes 17:22-23 AVB
PERKARA DOA:
- Untuk memuliakan Allah di bumi dan melaksanakan misi yang Tuhan Yesus kita telah utuskan, dalam hal mencontohi-Nya. Sepertimana Yesus memuliakan Bapa Allah di bumi, dan melakukan segala yang Dia telah diamanahkan secara sempurna;
- Doakan kekuatan, kebijaksanaan, dan daya ketahanan di mana setiap detik hidup kita mencontohi Kristus kerana dunia ini membenci kita sepertimana dunia membenci
- Yesus dahulu. Doakan perlindungan daripada Si Jahat;
- Untuk menjadi agen perdamaian, agar kita dikenali sebagai anak Allah – dan sentiasa bekerja untuk menyatukan umat Allah dalam kesempurnaan, agar dunia akan tahu bahawa Allah telah mengutuskan Yesus serta mengalami kasih Allah;
- Untuk saling mengasihi secara ikhlas supaya semua orang boleh melihat kesatuan kita dalam Kristus.
DOA:
Allah Bapa, Engkau tidak menciptakan masyarakat serba sama sahaja, tetapi berlainan pula. Pulihkan Eden Baru Engkau, di mana setiap bunga, daun, dan emping salji mengandungi gambaran Engkau yang istimewa. Semoga kita bersatu dalam jalinan kasih-Mu di dalam persiapan untuk meraikan jutaan bangsa, suku, dan bahasa sewaktu mereka bersatu dalam Kristus. AMIN.
- JUMAAT AGUNG
MENYANGKAL DIRI – Kekalahan sementara membawa kemenangan yang kekal.
Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya. – Yohanes 19:30 AVB
PERKARA DOA:
- Kristus mati untuk kita oleh kerana KASIH. Doakan agar kita boleh mengasihi orang lain dan mereka yang sesat secara tulus sepertimana Yesus mengasihi;
- Doakan agar kita bersama-sama Yesus dan menghayati hadirat-Nya setiap waktu, agar kita boleh menyatakan bahawa kehidupan lama telah mati, dan Kristus hidup dalam kita sekarang dengan penuh keyakinan;
- Doakan agar kita menyerahkan diri dengan sepenuhnya kepada Anak Allah, dalam pengetahuan bahawa Dia mengasihi kita dan mengorbankan diri untuk kita, setelah mengalami kehidupan di dunia ini dan inginkan yang terbaik untuk kita;
- Dalam segala yang kita lakukan, semoga kita mempunyai minda.
AKU DISALIBKAN DENGAN KRISTUS
DOA:
Bapa Syurgawi, pada Jumaat Agung ini, kita memperingati penderitaan yang Tuhan Yesus alami untuk menyelamatkan kita. Berikan kita keberanian agar Kristus akan ditinggikan senantiasa dalam semua hal, walaupun hidup atau mati. Agar kita boleh mempercayai kata-kata sendiri “Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan,” dan pada akhir perjalanan hidup, untuk berkata “Sudah selesai.” AMIN.
- SABTU KUDUS
HIKMAH DI SEBALIKNYA – Kesenyapan Allah tidak bermakna Dia tidak berada di kalangan kita.
Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ. – Matius 27:66 AVB
PERKARA DOA:
- Untuk mempercayai kehendak Allah akan terjadi dan Dia akan mengabulkan semua janji-janji-Nya kerana kita tahu bahawa Dia berkuasa atas segala bangsa;
- Jangan berasa resah bila melihat musuh- musuh Allah memperoleh ‘kemenangan’ kerana kita tahu bahawa Allah masih bekerja;
- Untuk belajar berdiam dan melalui segala pengalaman dalam pengetahuan bahawa Allah akan memulihkan segala sesuatu berdasarkan masa-Nya, walaupun situasi tidak menggalakkan;
- Bersedia menjadi bejana-Nya dan melakukan kehendak-Nya agar Kerajaan Allah dialu- alukan.
DOA:
Bapa Syurgawi, pada Sabtu Kudus ini, kami memperingati kesepian dan kepiluan yang Engkau alami sewaktu berpisah dari Anak Tunggal-Mu. Penderitaan yang Tuhan Yesus kita mengalami selama 2 hari tersebut merupakan sesuatu beban yang terlalu berat untuk murid-murid-Nya.
Kami tahu bahawa akhirnya, Engkau ingin menguatkan dan menyucikan kami untuk menguji iman kami, agar kami cemerlang seperti emas yang tulen. Ajarlah kami untuk terus percaya walaupun Engkau tidak menjawab dan kami tidak memahami situasinya. Ajarlah kami berdiam dan belajar menantikan masa Allah, sambil berehat dalam-Mu.
Tolonglah kami melalui detik-detik di mana kami dianiaya dan beragu-ragu. Ajarlah kita untuk bertetap dalam-Mu dan terus berharap dalam kasih-Mu yang tidak pernah gagal. AMIN.
- HARI PASKAH
YESUS TELAH BANGKIT – Kemenangan diperoleh!
Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu- ragu? Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.” Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Yesus pun bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua. – Lukas 24:38-43 AVB
YESUS TELAH BANGKIT, MEMANG YESUS TELAH BANGKIT!
PERKARA DOA:
- Berterima kasih untuk kemenangan di atas salib! Bersyukur atas kepercayaan kita yang berdasarkan Penyelamat yang telah bangkit dari maut, dan akan kembali untuk memerintah. Kita rindu akan hari kemenangan yang akan datang, di mana Kristus akan kembali sebagai Pemerintah di bumi dan langit baru. Tiada lagi air mata ataupun tangisan di bumi baru tersebut, tetapi kita akan tinggal dalam suasana yang penuh sukacita.
- Sembah Tuhan Yesus Kristus kita, kerana Allah telah memuliakan Dia dan memberi Dia nama atas segala nama, agar setiap lidah mengaku dan lutut bertelut, di syurga, di bumi dan di bawah bumi, bahawa Yesus Kristus adalah Tuhan, dan Allah Bapa dimuliakan.
DOA:
Bapa Syurgawi, kita memuji Engkau oleh kerana detik ini yang penting dan bersejarah di dunia! Tuhan, terima kasih atas segala yang Engkau lakukan untuk menghancurkan kuasa dosa dan maut! Ia sudah selesai!
Pada hari ini, kita raikan dan rehat dalam pengetahuan bahawa Tuhan Yesus Kristus mengasihi kita, di mana Dia merendahkan Diri dan menyangkal Diri untuk kita. Semoga kita hidup sebagai korban yang hidup, mencontohi Tuhan Yesus Kristus kita. AMIN.